Wednesday 22 June 2016

Perjalanan PISMP

Bismillahirrahmanirrahim,

Alhamdulillah, setelah sekian lama bersawang laman ini, aku kembali menulis. Ternyata bukan senang mahu menulis, ada saja cabaran dan kekangan.

Agaknya inilah penutup bagi kisah-kisah yang sebelum ini. Lihat tajuk di atas juga sudah tahu di mana aku akhirnya berada, pilihan aku, bumi aku berpijak sekarang bukan? Ya, setahun lalu pada tarikh 22 Mei 2015, aku telah pun mendaftar di IPG Kampus Tuanku Bainun, Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Doa mak aku rasakan kabel penghubung kuat rezeki aku di sini selain takdir yang telah ditetapkan oleh Allah Taala yang sudah semestinya terbaik untuk aku.

Setahun telah pun berlalu, aku masuk ke sini untuk kursus Program Persediaan Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PPISMP) dengan opsyen Pengajian Melayu. Sekarang, setelah 2 semester berlalu, aku baru saja melangkah ke alam pengajian ijazah sarjana muda, 1 PISMP PM/ TESL.

Pengalaman dan pengetahuan semasa tahun persediaan amatlah berharga. Sistem pembelajaran di sini juga tidaklah begitu sibuk jika dibandingkan dengan sistem di Matrikulasi. Peperiksaan yang diambil hanyalah 3 kertas major, manakala subjek lain melibatkan kerja kursus bagi penilaian. Berbekalkan keputusan yang agak baik, maka aku layaklah untuk melangkah kaki ke alam pengajian ijazah sarjana muda ini.

Beban kerja agak bertambah, tambahan pula bagi subjek minor atau elektif teras, kami bakal menjawab kertas yang sama dengan pelajar major bagi subjek tersebut. Berbicara tentang ini, pemilihan minor juga bagi kami penuh dengan suka duka. Dengan tagging SJKC, pemilihan subjek minor agak terhad kerana kami perlu mengajar dalam bahasa pengantar iaitu Mandarin.. Lama sebenarnya aku fikirkan ingin mengambil PJ sebagai minor, akan tetapi akhirnya, aku mengambil keputusan untuk mengambil TESL/ BI sebagai minor. Mungkin saja keputusan ini aku ambil untuk meneruskan hasrat aku bagi menguasai BI dan juga mencabar diri. Satu-satunya yang memilih minor BI dari kelas PM, sudah semestinya banyak pertimbangan yang aku ambil, apatah lagi orang lain juga turut memberi pendapat, sokongan dan tidak kurang juga yang tidak menyokong. Itulah yang aku rasakan agak mencabar sebenarnya. Bagi aku, mempelajari dua bahasa dalam masa yang sama tidaklah berat kerana kedua-duanya aliran linguistik. Seronok juga belajar bahasa, apa salahnya kan?

Sehingga bertemu lagi!

Friday 8 January 2016

Bahagian Keenam

Bersambung...

         Sebenarnya setelah beberapa lama UKCG berlalu, harapan aku masih wujud, namun ego aku sebenarnya yang memendamkan harapan tersebut. Oleh itu, aku sangat bersemangat dan optimis sekali hendak menempuhi suka dan duka di alam matrikulasi. Sayangnya, impian aku untuk bergelar doktor bermula baru ketika itu, jadinya aku cuba sedaya menyingkirkan tanggapan negatif berkaitan kesukaran dan sebagainya di matrikulasi. Aku bahkan siap bercadang membawa bekas pensel yang digunakan sewaktu peperiksaan SPM untuk mengingatkan aku kegagalan yang aku rasakan ketika aku di bangku sekolah. Tidak juga aku banyak bermain, apatah lagi bercinta, tapi mungkin aku tidak serajin dan setekun rakan yang lain. Selain membeli buku matematik untuk matrikulasi, aku juga ada membeli buku Prof. Dr. Muhaya yang bertajuk How to Be Successful Medical Student. Sungguh aku katakan, aku benar-benar nekad kiranya melalui matrikulasi untuk mencapai cita-cita aku. Berkenaan buku tersebut juga, aku fikirkan jikalau aku tidak begelar seorang doktor sekalipun kelak, aku masih boleh mengamalkan tip-tip yang disampaikan kerana apa jua bidang pengajian pun, hakikatnya adalah sama mencabar juga dengan bidang perubatan.

         Aku tinggalkan hasrat yang kian menebal itu dan aku teruskan sampai masa keputusan untuk temuduga PPISMP Ambilan Jun 2015 keluar. Oh ya, sebelum itu aku akan selitkan sedikit tentang hidup aku selama seminggu di matrikulasi. Dengan hasrat aku dan impian yang membara untuk menjadi seorang doktor, aku melangkah ke Kolej Matrikulasi Kedah. Sudah semestinya tawaran Asasi Sains Hayat di UNIMAS telah aku tolak. Sedikitpun tidak aku kesalkan. Mungkin keraa sudah lama aku berhajat dan merancang kehidupan di matrikulasi kelak.

         Jadi, pada 24 Mei 2015 aku mendaftar di KMK. Walaupun terletak di dalam negeri Kedah, jaraknya agak jauh dari daerah aku. Setelah bertolak dari awal pagi, pada hari itu aku seronok akhirnya dapat juga aku ke matrikulasi. Dipendekkan cerita, sesi pendaftaran berjaya aku selesaikan dengan baik dan yakin sekali. Seingat aku, langkah aku pada hari itu seolah-olah sekitar kawasan pernah aku jejaki. Rakan-rakan dari SMKAB juga ramai di situ. Seminggu di matrikulasi adalah pengalaman yang sangat bermakna. Jika diberi peluang, aku mahu lagi ke situ. mungkin tidak perlu aku ceritakan tentang kemudahan-kemudahan kerana sememangnya terbaik dan lengkap.

          Paling seronok, blok aku terletak berhampiran masjid. Statusnya masjid kerana penduduk di sekitar qariah tersebut sememangnya bersolat Jumaat di situ. Pada hari-hari biasa, ahli jawatankuasa masjid yang terdiri daripada warga KMK yang menguruskan hal ehwal masjid. Seronoknya ialah apabila tibanya waktu solat, azan kedengaran sangat jelas dan kedudukan yang berhampiran memudahkan kami bersolat di masjid. Suatu kelebihan bukan? Selain itu, sebelum waktu solat zikir akan dipasang pada pembesar suara. Ada satu zikir yang dikatakan dalam sebuah hadis Rasulullah iaitu dua kalimah yang ringan di bibir tetapi berat di timbangan kelak. Subhanallahi wa bihamdih, subhanallahil azim. Zikir itu sungguh terkesan di hati aku dan aku kira itulah bekalan dan kenangan yang terbaik dari bumi KMK sehingga kini.


         Pengalaman berorientasi tidaklah begitu menarik bagi aku. Hal ini kerana, bilangan pelajar yang ramai iaitu hampir mencecah 2 ribu orang menyebabkan kadangkala sesuatu program itu kurang efektif. Pelbagai taklimat diberikan sepanjang seminggu orientasi ini. Hal ini tidak aku nafikan, amat membantu sebagai pelajar baru di KMK. Antara yang boleh aku ceritakan berkaitan KMK juga adalah sistem bilik pensyarah yang dikenali sebagai cubic, perpustakaan yang sangat selesa dan kafe yang terletak di setiap blok. Sepanjang tempoh aku di situ, aku sempat berjalan dan mengetahui selok belok KMK, bahkan keluarkan ke Pekan Changlun juga sempat. Pekan itu adalah yang terdekat dengan kolej ini dan sebenarnya pengangkutan untuk keluar agak mudah kerana perkhidmatan teksi tersedia untuk membawa pelajar keluar.

        Bercerita pula mengenai sitem pembelajaran, di KMK sistem yang digunakan ialah sistem kuliah dan juga tutorial. Sistem kuliah di dalam bilik kuliah secara beramai-ramai, manakala tutorial pula di dalam kelas dengan bilangan pelajar yang lebih kecil. Sekadar sedikit perkongsian, terdapat tiga modul yang boleh dipilih dan modul yang aku ambil ialah Modul Satu iaitu terdapat subjek Biologi, Kimia, Fizik dan Matematik serta beberapa subjek generik. Kehidupan di matrikulasi sememangnya sangat padat dan mencabar. Aku berkesempatan masuk ke kuliah dan tutorial dalam masa sehari. Namun begitu, sejak hari pertama lagi aku rasakan agak mencabar dan memerlukan kecekalan dan semangat yang sangat tinggi. Masa untuk preview dan review subjek yang dipelajari perlu dijadualkan sebaik mungkin kerana tugasan tutorial juga turut mengiringi sebaik sahaja tamat kelas pembelajaran. Aku rasakan itulah ertinya sebuah perjuangan dan pengorbanan dalam menuntut ilmu. Itu juga khazanah yang aku rindui kini.


 Aku seronok dan bersemangat sekali di KMK. Kadangkala ada juga rakan yang menyebut mengenai IPG. Pada waktu itu, aku pekakkan sahaja telinga kerana aku sudah bertekad dan ini jalan yang aku pilih. Namun sebenarnya jauh dalam sudut hati, ada secebis harapan. Jika bukan aku, ada harapan dan kabel doa yang mengiringi. Doa mak aku. Aku agak dilema.

Bersambung...

Sunday 4 October 2015

UKCG di IPG Kampus Perlis...

Suka atau tidak, agak bersemangat juga aku hendak ke sana. Walaupun menjadi antara yang aku rasakan keciciran, aku lakukan sahaja segala persiapan yang dilakukan. Semangat jugalah aku dalam masa dua hari berjoging dan bersenam di dalam rumah. Aku agak berdebar sebenarnya. Prinsip aku, suka atau tidak, tetapi jika sudah diberi peluang aku harus manfaatkan itu agar aku tidaklah berasa ralat kelak.

       Jadinya pada hari yang ditetapkan, aku pergi dan seperti yang sudah aku agak, beberapa orang yang sempat aku tanyakan mereka semuanya kes seperti aku, tersalah isi dengan tidak ukur baju di badan sendiri. Oh ya, aku ke sini bukan atas dasar opsyen apa-apa pun, jadi pada waktu itu tidak tahu apabila ada orang bertanya. Sebelum Subuh lagi aku telah bertolak dari Sungai Petani, rumah tok(nenek) aku. Jarak antara Perlis dan Sungai Petani lebih dekat, tambahan pula mujur Pak Long aku sedia menjadi pemandu kami ke sana. Kami yang aku maksudkan di sini ialah emak, aku dan adik. Keluarga Mak Cik juga sebenarnya mengiringi langkah aku ke utara Tanah air pada hari ujian tersebut dengan niat untuk berjalan-jalan di negeri mangga harum manis tersebut. Sebelum melangkah keluar rumah, sewaktu menyarungkan kasut, sempat tok aku berpesan agar aku memakai kasut di sebelah kanan terlebih dahulu serta melangkah dengan kaki kanan disertai lafaz mulia, Bismillah. Perkara yang kecil ini sengaja aku ceritakan kerana kadangkala perkara yang kita rasakan kecil inilah sebenarnya perlu dititikberatkan untuk sesebuah perkara yang besar.

        Sebelum bermula ujian kecergasan tersebut, kami dikumpulkan di dalam sebuah dewan. Dewan Mahawangsa kalau aku tidak salah, itu namanya. Di situ kami dikehendaki menjawab soalan berkaitan kelayakan calon guru. Pada dasarnya, soalan tersebut berbentuk objektif yang bertujuan mengenalpasti psikologi seseorang. Jawapannya seingat aku hanya setuju atau tidak sahaja serta beberpa pilihan yang berkaitan dengan tindakan inidividu. Dalam masa 1 jam lebih untuk menjawab seratus lebih soalan, itu aku rasa agak mencabar dan dalam kekalutan juga aku dibuatnya. Setelah selesai menjawab, kami diberi taklimat berkenaan ujian kecergasan. Pada waktu itu segala video yang diseludup daripada seorang kawan yang hadir ujian sebelum ini  baru aku fahamkan dan ternyata tidaklah serumit yang aku sangka. Tetapi aku masih berdebar,maklumlah namanya sudah ujian.

        Apabila tiba masa bergerak ke tempat ujian, aku sempat melihat kawasan sekitar termasuklah beberapa orang pelajar di situ yang berpakaian baju kurung. Tampak sopan sekali ke kelas, sekali sekala terdetik kebanggaan di hati aku melihat muda mudi berpakaian sopan dalam menuntut ilmu. Kredibiliti senior-senior yang membantu pada hari itu sebagai bakal seorang guru juga agak ketara.Arahan diberikan mereka jelas dan setiap pergerakan diurus dengan baik sekali dan aku kira mereka sudah terbiasa dengan disiplin begitu. Sampai di sebuah bilik, berat dan tinggi kami direkodkan. Guru pelatih di situ peramah, ada yang sempat bertanya tentang opsyen dan mengucapkan selamat maju jaya kepada kami. Positif sekali aku ketika itu dan tanpa aku perasan, dari situ mula timbul bibit harapan aku untuk terus melangkah sampai ke bahagian temu duga. 

        Seterusnya kami bergerak untuk melakukan lompat kuadran dan variasi bangkit tubi. Pada bahagian bangkit tubi, aku bersyukur kerana hanya sekali kiraan diambil. Bahagian itu sebenarnya aku risaukan dari rumah lagi, tetapi aku Berjaya jugalah menghadapinya. Apa yang menarik di sini adalah, kami dikehendaki mengucapkan terima kasih beramai-ramai setelah selesai satu stesyen. Tidak ubah seperti murid-murid di sekolah rendah, di hadapan pula bakal guru sekolah rendah. Aku agak teruja dan bersyukur pada hari itu. Akhir sekali, kami bergerak ke dewan gimnasium untuk melakukan kilas sisi dan bleep test. Aku cuba sedaya upaya bagi kilas sisi, namun sebenarnya cabaran utama dalam ujian ini adalah bleep test. Aku kira aku sudah berlari sedaya upaya. Tetapi keputusan aku rasanya biasa-biasa sahaja dan aku tidak ingat pun sehingga tahap mana  aku berlari. Setakat yang aku dengar sebelum ini daripada rakan-rakan aku, aku rasa biasa sahajalah pencapaian aku.Senior yang membantu mencatat keputusan juga turut bersemangat memberi dorongan kepada kami. Itu amat aku hargai.

        Selesai berehat dan mengisi boring maklum balas, tamatlah ujian pada hari tersebut. Aku bertuah juga kerana pada hari itu, aku berada dalam kumpulan pertama, jadi kami antara yang terawal selesai. Riak wajah emaklah yang paling konsisten pada hari itu. Dari awalnya hendak menduduki ujian sehingga selesai, harapan yang tinggi tidak dapat disembunyikan daripada raut wajahnya. Aku tinggalkan ruangan IPG itu dengan sakit-sakit di bahagian kaki kerana sudah lama tidak aktif dan sedikit rasa bersalah kerana aku berasakan aku patut berlari lagi sewaktu bleep test tadi. Tapi itulah hakikatnya, sedikit semangat dan harapan mucul ketika kaki aku melangkah ke situ dan melihat wajah serta gelagat pensyarah dan guru pelatihnya. Aku ingin berterima kasih pada semua yang terlibat pada hari itu.



Ada harapan, namun tidak begitu jauh. Semangat mula hilang! Layakkah ditemu duga?
Bersambung...


       
        

       

Saturday 3 October 2015

Bahagian Kelima

Alhamdulillah baru kini berkesempatan bersambung...

        Lama juga aku tidak menulis. Kali terakhir pada Julai lalu dan kini sudah pun masuk ke bulan Oktober. Kiranya baru juga aku menyambut hari lahir aku. Sepanjang tempoh tersebut aku agak sibuk sebenarnya, dengan tugasan yang bertimbun dan tidak kurang juga pembentangan-pembentangan yang diaplikasikan pada setiap subjek. Bakal gurulah katakan! Dalam tempoh itu juga ada seorang sahabat aku yang berhajatkan agar aku menyambung penulisan ini. Jujur, aku terharu dan berterima kasih sekali ada juga yang sudi membaca dan singgah di blog ini. Terima kasih! (aku harap dia baca) Hal ini kerana, aku sebenarnya sedang mencuba untuk kembali ke bentuk penulisan yang konvensional, maksudnya dengan penggunaan laras bahasa baku. Pada zaman kini, aku kira tidak ramai golongan yang sezaman dengan aku suka akan bentuk penulisan begini. Mereka lebih suka pada yang santai dengan penggunaan bahasa-bahasa 'anak muda' atau boleh juga aku katakan bahasa pasar. Tidak dinafikan, aku juga suka begitu walaupun kadangkala penulisan sebegitu agak merobek satu sisi kesantunan linguistik aku. Jadi, berbalik kepada penulisan konvensional tadi, aku agak berbangga apabila ada penerimaan terhadap penulisan ini dalam kalangan rakan sebaya.

        Terlalu banyak aku bebelkan di ruangan ini, jadi nanti aku akan sambung pengalaman aku ke UKCG di IPG Kampus Perlis pada tulisan yang baharu. Jumpa lagi! 

Tuesday 21 July 2015

Bismillah, bersambung...



         Tidak lama kemudian, barulah diadakan sesi taklimat berkenaan temuduga pada hari tersebut. Kami bukan sahaja ditemuduga secara lisan tetapi juga diuji mengenai "English Proficiency" dan ujian minat kerjaya. Ujian tersebut tidaklah sukar dan hanya untuk menilai penguasaan bahasa Inggeris yang bakal menentukan tempoh kelas intensif bahasa Inggeris sekiranya berjaya dan minat pemohon yang selaras atau tidak dengan kos yang dipohon. Satu tugasan esei juga perlu dilaksanakan sementara mengisi masa ditemuduga. Bagi yang mendapat 9A ke atas perlu melaksanakan dua esei yang bertajuk "Happiness" dan "Life". Jadi, aku hanya mengarang satu esei tentang kegembiraan. Bagi aku, menarik juga aktiviti menulis sedemikian dan soalannya mengingatkan aku betul-betul pada peperiksaan SPM kerana bentuk soalannya begitu. Masa yang terluang sudah semestinya aku peruntukkan membina esei tersebut sementara menunggu giliran. Sayup-sayup sahaja aku terdengar calon lain ditemuduga. Orang sebelah aku juga kadang bertanya kepada calon yang telahpun siap ditemuduga. Aku tumpang sahaja mendengar. Tidak tenang aku menjawab esei. Kedengaran soalan yang dikemukakan agak tipikal, namun hakikatnya itulah cabaran sebenar. Kadangkala soalan biasa atau ringkas itulah yang menjerat kita, jadi perancangan dan strategi menjawab perlulah mantap.


           Antara soalan yang ditanyakan adalah " Ceritakan pengalaman manis kamu," atau "Apakah kejayaan paling membanggakan dalam hidup kamu dan kesannya terhadap diri kamu". Begitulah yang aku dengar dan sememangnya itulah yang diajukan 15 minit kemudian setelah giliran aku tiba. Aku ditemuduga oleh pegawai wanita yang memberi taklimat pada kami awal tadi. Dia bertutur dalam bahasa Inggeris, jadi secara tidak langsung auranya itu membuatkan aku agak yakin bertutur dalam bahasa antarabangsa tersebut. Aku agak yakin namun gementar sebenarnya. Dari awal beliau berpesan kepada aku andai tidak mampu berbahasa Inggeris aku juga dibenarkan berbahasa Melayu. Aku tidak mudah berputus asa, andaian aku dengan cuba juga berbahasa Inggeris itu akan menjadi kekuatan bagi aku sebagai seorang pemohon bagi biasiswa tersebut. Pada awalnya juga, walaupun agak gementar, aku dengan tenang dan yakin sahaja menuju ke meja temuduga. Sempat juga aku menyuarakan kebimbangan aku kepada rakan aku tatkala aku melewati mejanya. Gilirannya belum tiba. Aku sedaya upaya menjawab soalan yang diberi dengan jawapan yang aku harapkan tidaklah klise seperti kebanyakan jawapan untuk temuduga. Aku jawab berdasarkan pengalaman aku yang kebanyakan aku jalani di sekolah dahulu. Agak lama aku ditemuduga. Kira-kira 20 minit aku rasakan atau hampir setengah jam aku disoal jawab. Sewaktu aku pulang ke meja, aku lihat rakan aku masih berada di mejanya. Tetapi sebenarnya yang aku tidak tahu, dia sudahpun siap ditemuduga! 


             Berdasarkan perkongsian kami setelah menjalani hari yang penting tersebut, rakan aku tadi ditemuduga sekejap sahaja. Tambahan pula, soalan yang diajukan kepadanya amat ringkas seperti bertanya tentang latar belakang keluarga sahaja. Bahkan, tidak pula dia cuba bertutur dalam bahasa Inggeris. Bukanlah aku berniat untuk memperkecilkan dia. Tidak sama sekali! Nanti aku ceritakan kewajarannya. Selepas sesi individu tersebut, kami dikehendaki melakukan ujian minat kerjaya. Ada nama khas bagi ujian tersebut bersempena dengan nama penciptanya, tetapi sayangnya aku lupa. Sememangnya itu ujian minat kerjaya yang perlu ditandakan dengan pensel 2B. Aku terlupa membawa pensel! Hakikatnya, aku tidak menyangka aku memerlukan pensel sewaktu temuduga tersebut, ditambah pula dengan sikap aku sendiri yang tidak sedia menyediakan payung sebelum hujan. Aku beruntung boleh menggunakan pensel yang disediakan pihak hotel di atas meja tersebut. Tidaklah terang matanya, tetapi mungkin juga menjadi antara penyebab aku gagal dalam temuduga tersebut kerana kertas jawapannya bakal ditanda dengan mesin penanda. Aduh, aku tersalah hitamkan pula! Dengan hanya bertemankan pen biru dua batang, dari mana pula hendak datangnya pemadam? Dalam kekalutan berkejar dengan masa, aku ternampak pemadam pada orang sebelah. Orang yang dari tadi aku diamkan diri itulah. Tadi aku membatu, membisu tapi sekarang aku terpaksalah meminjam pemadamnya pula.Alahai malunya! Aku gagahkan juga kerana terpaksa meminta izin menggunakan pemadamnya. Beruntunglah dia pinjamkan pemadamnya, manis mukanya,baik hatinya. Orang Pulau Pinang. Kisah membatu tadi aku tamatkan sehingga rakan aku juga terdengar aku ingin meminjam pemadam tersebut. Bertambah malu aku.


                Temuduga tersebut aku tamatkan dengan melaksanakan ujian bahasa Inggeris. Tidaklah susah pada pendapat aku. Namun sebenarnya, terbit sedikit kekesalan dalam hati aku yang sebenarnya aku tidak sempat bersalam dengan emak terlebih dahulu awal pagi tadi. Sehinggalah tamat pada jam 3 petang, aku terasa ralat. Sementara menunggu mak saudara aku datang menjemput aku menerima satu mesej. Mesej tersebut datang daripada KPM dengan nombor 15888 yang menyuruh aku menyemak kembali keputusan tawaran untuk ke UKCG.Perasaan aku? Nah, tentulah tidak aku menyenangi sangat berita tersebut. Aku agak gembira menerima peluang tersebut, namun dalam masa yang sama aku memberontak. Apa tidaknya, aku sudah bertekad mahu ke program matrikulasi. Tetapi sekarang aku harus melalui satu proses yang juga memerlukan aku membuat keputusan luar minat dan impian aku sekiranya aku berjaya. Tambahan pula, aku terpaksa menyediakan diri aku dengan kecergasan yang optima seorang diri. Tidak ada lagi rakan aku yang mendapat peluang terakhir ini. Ada seorang sebenarnya, tetapi sayang dia terlambat meihat mesej yang juga pada hari yang sama aku dapat. Perjalanan pulang ke rumah aku isi dengan perbualan persediaan rakan aku yang akan ke UKCG esok harinya di Jitra. Aku tanyakan beberapa maklumat kepadanya dan aku juga terpaksa meminta supaya dia menghantar video ujian yang dijalankan. Sebelum ini aku padamkan semua, lantaran aku beranggapan aku sudah tidak ada rezeki di situ. Kami melalui IPG Kampus Tuanku Bainun (IPGKTB) pada petang itu. Namun, perancangan Tuhan meletakkan aku di sini pada hari ini langsung tidak dapat aku hidu. Subhanallah...







Jom pi Perlis!....bersambung nanti.

Tuesday 14 July 2015

Bahagian Ketiga

 Dengan nama Allah, bersambung...


         Jadi, pada tanggal 4 April aku ke temuduga tersebut. Semangat memang semangat. Gemuruh juga aku rasa. Itulah temuduga pertama aku selepas SPM. Oleh itu , aku cuba membuat persiapan sebaik mungkin, bahkan seminggu penuh tersebut aku fikirkan dan aku sediakan diri aku serta dokumen diperlukan. Peluang itu cukup bermakna. Tambahan pula, yang berjaya menerima panggilan ke temuduga tersebut cuma aku dan seorang lagi rakan aku dari sekolah yang sama. Bangga? Tidaklah,cuma rezeki dan takdir yang tertulis. Pada hari itu, rakan aku juga menumpang sekali dengan aku ke tempat temuduga tersebut di sebuah hotel di Pulau Pinang. Sempat juga aku bertanyakan bagaimana persiapan dia menghadiri temuduga tersebut. Lalu,dengan tenang dia menjawab tidak ada apa sangat yang disediakan. Aku kagum. Mungkin dia sudah terbiasa agaknya melalui saat getir ditemuduga. Dia semestinya cemerlang dari aku, pelajar 9A . Sempat jugalah aku kongsikan juga beberapa perkara yang mungkin ditanya penemuduga tersebut. Setelah satu jam lebih atas perjalanan,kami pun tiba. Berdebar rasanya. Melihat pula pemohon lain, ada yang segak berkot dan tidak kurang juga yang manis berbaju tradisi. Aku? Biasa sahaja dengan baju kurung bermotif pelikat berwarna jingga. Sengaja aku sembunyikan perasaan gugup,sampai sahaja kami terus ke tingkat satu hotel tersebut. Sudah ramai rupanya menunggu untuk masuk ke dalam dewan. Tetapi, tidaklah kami pula terlewat. Sekejap sahaja menunggu, nama aku terlebih dahulu dipanggil mengambil tempat di dalam dewan.Besar dan cantik tempatnya.  
      
        Terdapat meja-meja disusun berpasangan dan kami dikehendaki duduk mengikut angka giliran. Angka giliran aku S13 yang sampai kini aku abadikan dengan menampalkan pelekat tersebut atas fail kertas yang juga sering menjadi peneman urusan rasmi dokumen. Aku duduk dan cuba mengawal diri yang agak sudah lama bersenang-senangan dan kini berada dalam gemuruh yang tidak menyenangkan. Tidak lama kemudian, seorang budak lelaki berkemeja biru datang dan duduk di sebelah aku. Sengaja juga aku hiraukan dan tidak aku perhati mukanya kerana tidak ada lain yang aku fikirkan melainkan bagaimana temuduga tersebut akan berlangsung. Jadi,situasi di meja kami berdua senyap. Sesekali aku terdengar budak lelaki tersebut bertanya sesuatu kepada gadis di bahagian hadapan kami. Kenalannya barangkali kerana terlihat agak mesra. Manakala aku,terus membatu dan membisu. Sekali sekala aku teguk air minuman yang disediakan dan membelek cenderahati berupa buku nota mini beserta pen di atas meja.Oh ya, rakanku juga duduk tidak jauh dari meja aku sehingga aku boleh mendengar dia bersembang dengan rakan barunya yang agak ramah aku lihat. Permulaan temuduga diadakan sesi pengesahan atau verifikasi dokumen-dokumen yang dibawa. Apabila tiba sahaja giliran aku, terus aku membawa dokumen-dokumen ke kaunter berkenaan. Di situ, sempat lagi pegawai berkenaan memberi komen tentang keputusan subjek Matematik Tambahan aku. Katanya, keputusan itu agak jauh beza daripada subjek Matematik yang jauh lebih baik,padahal formulanya sama sahaja. Ya, tidak aku nafikan, bahkan aku hanya tersenyum dan mengakui kata-katanya. Beliau juga memberitahu bahawa sesi temuduga tersebut hanyalah bersifat individu dan kami dikehendaki bertutur di dalam bahasa Inggeris. Katanya lagi,jika kami tidak mampu berbicara dalam bahasa antarabangsa tersebut, kami juga boleh berbicara dalam bahasa ibunda. Agak kelu pada awalnya aku mendengar, tetapi segera aku positifkan diri. Aku mahu sahut cabaran ini!






Aku lama,dia sekejap. Aku cuba,dia tidak. Aku malu!
Bersambung...


Sunday 12 July 2015

Bahagian Kedua

Bersambung...



        Setelah mendapat keputusan tersebut yang agak menggembirakan bagi aku, agak menggembirakanlah kerana aku tidak perlu lagi menghadiri ujian kecergasan dan sebagainya, dan ya aku gembira. Tetapi jauh dalam sudut hati aku sebenarnya terpancar juga lubuk kekecewaan, hal ini kerana ramai rakan-rakan aku yang mendapat peluang menghadiri ujian berkenaan. Maksudnya, jika aku juga terpilih seperti mereka, aku juga boleh menimba pengalaman di situ. Pada waktu itu juga ada juga rakan-rakan aku yang sudah pun menghadiri temuduga dan sebagainya,jadi aku rasa ketinggalan. Tambahan pula cuti panjang yang sememangnya panjang selepas peperiksaan itu amat aku rasa kerana aku hanya di rumah dengan beberapa kerja rumah. Tidak seperti orang lain,mereka bekerja,berniaga dan sebagainya. Tidaklah aku ini tidak mahu memanfaatkan cuti dengan aktiviti sebegitu,teringin juga. Tetapi hakikatnya, aku ini budak kampung yang tidak ada kemudahan bergerak sendiri ke tempat kerja,jika aku bekerja di kawasan pekan. Sudah tentulah apa peluang yang ada sangat di kampung kecil aku itu. Jadi, aku manfaatkan cuti tersebut dengan menghadiri kelas memandu. Cabaran juga, mengambil jenis B2 dan D. Kedua-duanya lesen untuk kereta dan motosikal. Awalnya juga sudah tercabar dengan kos yuran dan kelas yang dikorbankan. Apa tidaknya, gara-gara silap percaturan, tidak menyelidik terlebih dahulu agen-agen yang lebih murah,RM 2000 melayang seumpama aku ini hendak mengambil lesen lori pula!Tapi, aku berpuas hati kerana segalanya berjalan lancar dan aku juga sekarang sudah boleh memandu sendiri.Paling jauh aku memandu ke Sungai Petani yang jaraknya dari Baling ialah satu jam perjalanan.Aku balik kampung arwah abah.


           Panjang aku melalut? Sengaja aku ceritakan agar nanti ada pembaca yang berada dalam situasi aku bijak beradaptasi dengan masa,ruang dan peluang yang ada.Bukan seperti aku. Aku kecewa, namun sengaja aku pancarkan aura 'gembira' aku itu melebihi yang kecewa. Tahu siapa yang paling kecewa? sudah tentulah emak. Beliau berharap sangat dari awal aku mengisi permohonan. Mungkin berkat doa beliaulah selepas itu, ada panggilan kedua iaitu sesi UKCG yang terakhir bagi ambilan Jun 2015 yang kebanyakan calonnya seperti aku,tercicir kerana pengisian permohonan.Aku terkejut sebenarnya. Baru juga hendak melepaskan nafas kelegaan tiba-tiba aku perlu bersiap sedia dari segi mental dan fizikal untuk UKCG tersebut. Hari aku mendapat mesej agar aku menyemak kembali status permohonan,aku baru sahaja selesai menghadiri temuduga untuk Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera.Aku selitkan pengalaman aku sedikit semasa temuduga tersebut. Awalnya permohonan ke temuduga untuk biasiswa tersebut aku isi melalui atas talian atas dorongan mak saudara aku yang menggalakkan aku mencuba.Katanya, biasiswa tersebut bagus tetapi masih tidak sepopular biasiswa MARA,JPA dan sebagainya.Oleh itu aku mencuba nasib. Beruntung sesiapa yang mendapat tawaran tersebut. Tawaran biasiswa tersebut adalah untuk pelajar lepasan SPM yang dinamakan Tunas Potensi yang berminat melanjutkan pelajaran ke IPTS atau sekarang istilah barunya US, yang juga datang dari latar belakang yang sukar untuk mendapat pendidikan berkualiti. Oleh itu,segala yuran buku,kediaman dan duit poket semuanya disediakan. Mudah bicara, semuanya ditanggung.Kita hanya perlu menyediakan diri dan minda yang sihat sahaja untuk menuntut ilmu.Selain itu, program ini juga bagus dari segi objektifnya melahirkan golongan profesional bumiputera berkualiti dengan penganjuran kem intensif bahasa Inggeris dan tidak lupa juga Nurture and Development Programme yang melatih dan mendidik dari sudut keyakinan diri,disiplin,rohani dan sebagainya. Untuk adik-adik lepasan UPSR juga disediakan program biasiswa Tunas Geliga. Sewaktu mengisi permohonan, kita dikehendaki memilih bidang yang diminati dan menepati syarat am dan khas untuk setiap kos yang diberikan. Syarat amnya pelajar mestilah mendapat sekurang-kurangnya 8A. Bagi syarat khas pula bergantung pada kos masing-masing. Jikalau ada yang berhajat menyambung dalam bidang Sains, maka dinasihatkan agar memperoleh skor yang tinggi atau gred yang tinggi melebihi syarat minimum dalam subjek Sains seperti Biologi,Fizik dan Kimia.Tidak ketinggalan juga Matematik Tambahan atau Matematik.